Terangsang Secara Seksual Mempengaruhi Pertimbangan Moral
Minggu lepas, saya menonton dokumentari yang bertajuk “7 Deadly Sins” yang berkisarkan 7 dosa-dosa besar mengikut agama Kristian dan Yahudi. Diantara dosa-dosa yang dipaparkan ialah nafsu seksual. Nafsu seksual dianggap sebagai salah satu dosa besar dalam agama Kristian sejak 1800 SM lagi. Walaubagaimanapun, revolusi seks pada 1930-an di Barat lantaran industrialisasi telah mendedahkan seks sebagai komponen hiburan dan libur yang penting sehingga ke hari ini. Bezanya dengan Islam, Islam tidak menganggap nafsu seks sebagai dosa tetapi sebagai fitrah manusia yang boleh dipenuhi melalui perkahwinan.
Perkara yang menarik perhatian saya ialah penyelidikan yang dilakukan oleh Dr. Ken Maravilla dari University of Washington. Penyelidik tersebut menggunakan MRI, sejenis alat imbasan yang boleh mengesan gelombang otak, untuk mengkaji aktiviti otak manusia semasa terangsang secara seksual. Menariknya, apabila bahagian otak yang terlibat dengan rangsangan seksual aktif, bahagian otak yang mempengaruhi pertimbangan moral menjadi kurang aktif. Hasilnya, rangsangan seksual menjadi lebih hebat dan pertimbangan moral akan berada di luar kawalan. Hasil kajian ini membantu menjelaskan tindakan perogol dan penjenayah seks yang semakin meningkat hari demi hari.
Penemuan ini ialah salah satu bukti bahawa Al-Quran itu benar. Dalam Surah Al-Isra’, Allah telah menyatakan :
“Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan).”
( Al-Isra’: Ayat 32)
Ayat “ jangan kamu menghampiri zina” ini merangkumi segala perbuatan yang boleh merangsang nafsu seksual termasuk:
1) Sebarang imaginasi seksual
2) Menonton bahan-bahan lucah (dari TV, internet)
3) Membaca bahan-bahan lucah (dari majalah, internet)
4) Berdua-duaan dengan yang bukan muhrim (dating)
5) Melihat wanita/lelaki yang tidak menutup aurat
Perkara-perkara yang merangsang nafsu seks tidak terbatas hanya pada yang telah disenaraikan, tetapi apa-apa sahaja yang boleh merangsang nafsu seks. Dengan terangsangnya nafsu seksual, segala pertimbangan akal akan terjejas dan menjerumuskan diri ke arah ZINA. Akibatnya, semakin ramai bayi luar nikah yang dibunuh sebagaimana yang berlaku dalam masyarakat kita sekarang ini. Terbuktilah zina boleh mendorong manusia ke jalan kerosakan.
Agak tidak keterlaluan jika saya katakan, zaman sekarang ini sangat mencabar bagi umat Nabi Muhammad S.A.W. untuk menjaga nafsu seperti nafsu makan, nafsu ‘shopping’, nafsu tidur dan tidak terkecuali nafsu seks. Teknologi yang semakin maju bukan sahaja membantu manusia, tapi dalam masa yang sama boleh menjerumuskan manusia ke lembah kehinaan jika tidak digunakan dengan betul. Sebagai contoh, internet boleh memberikan pelbagai ilmu yang berguna, tetapi boleh juga digunakan untuk mencari gambar atau video lucah. Jadi, terpulang pada individu untuk menggunakan teknologi dengan baik. Tepuk dada, Tanya IMAN.
Sebagai muslimah, kita boleh membantu menghindarkan sebarang faktor yang boleh menjerumuskan sesiapa sahaja ke dalam zina dengan mengikuti landasan-landasan yang telah ditetapkan oleh Allah dan rasul-Nya. Diantaranya ialah:
1) Menutup aurat dengan sempurna
- menutup semua anggota badan kecuali muka dan tapak tangan
- mamakai pakaian yang longgar yang tidak mendedahkan susuk tubuh badan
- melabuhkan tudung sehingga ke paras dada
- elakkan tabarruj iaitu memakai pakaian yang cantik dan bersolek sehingga boleh menarik perhatian lelaki
2) Menjaga dan menundukkan pandangan apabila berhadapan dengan lelaki yang bukan muhrim. Pandangan wanita sangat merbahaya dan mampu menggegarkan iman lelaki.
3) Berdoa supaya diri (bagi gadis) dan anak perempuan (bagi ibu) dikurniakan suami yang soleh yang boleh memimpin ke arah syariat yang benar.
4) Mendidik anak-anak dengan syariat-syariat Islam
- mengajar anak-anak landasan dan batasan diantara lelaki dan perempuan
- melatih anak perempuan menjaga aurat sejak kecil
- menjaga pandangan dan fikiran anak-anak dengan mengawal rancangan TV yang ditontonnya
- memantau anak-anak semasa mereka melayari internet
5) Sentiasa berdoa kepada Allah agar diri dan keluarga sentiasa dijauhi daripada dosa dan maksiat.
Satu lagi cara untuk mengelakkan masyarakat kita terjerumus dalam lembah berahi ini ialah dengan mempermudahkan perkahwinan. Masyarakat kita, khususnya bangsa Melayu, suka meletakkan taraf perkahwinan yang berunsurkan wang dan material sebagai pilihan. Si gadis atau ibu bapanya cenderung meletakkan harga mahar yang agak mahal berdasarkan kelulusan akademik, status keluarga dan paras rupa si gadis. Tambahan lagi, hantaran-hantaran yang dikehendaki juga agak mahal. Tidak menjadi sesuatu yang pelik sekarang ini apabila ‘laptop’, kamera atau telefon bimbit menjadi barang hantaran. Rasulullah telah menyatakan,
“Sebaik-baik wanita adalah yang paling murah maharnya”
(Hadith Riwayat Ibnu Hibba, Hakim, Baihaqi, Ahmad)
Jadi, permudahkanlah sebarang urusan pernikahan/perkahwinan dengan memurahkan mahar dan kos kewangan yang terlibat supaya tidak membebankan kedua-dua pihak lelaki dan perempuan. Kos perkahwinan yang tinggi hanya akan menangguhkan perkahwinan dengan tujuan mengumpul atau meminjam duit.
Kesimpulannya, Al-Quran dan sunnah harus dijadikan pegangan hidup kerana ia sesuai dengan peredaran masa dan zaman. Walaupun Al-Quran telah diwahyukan Allah kepada Rasulullah S.A.W beribu-ribu tahun dahulu, kandungannya telah dibuktikan secara logik dan saintifik. Surah Al-Isra’, ayat 32 ini hanyalah salah satu ayat yang terbukti kesahihannya secara penyelidikan saintifik. Walaupun ia merupakan satu ayat yang pendek dan ringkas, pengertiannya sangat besar dan penting dalam kehidupan kita dalam era yang serba-serbi terdedah dengan unsur-unsur berahi . Semoga kita tidak terjerumus dalam lembah kehinaan zina dengan sentiasa bermuhasabah dan berpesan diantara satu sama lain, Insya Allah…..









