Cara Betul Makan Buah-buahan

November 8th, 2007

CARA YANG SALAH 

Kebanyakan daripada kita makan buah sebagai pemanis mulut atau ‘dessert’ selepas makan menu utama seperti nasi atau roti. Tekstur buah yang lembut menjadikannya senang dihadamkan berbanding nasi, daging, roti dan makanan lain yang biasa dijadikan hidangan utama. Buah terhadam akan tersekat dan akan terfermentasi sementara menunggu makanan berat dihadamkan. Fermentasi ialah proses pemecahan molekul berat karbohidrat kepada molekul ringkas oleh bakteria. Proses fermentasi akan menghasilkan asid dan gas dalam perut. Apabila buah terfermentasi bercampur dengan keseluruhan makanan dan jus-jus pencernaan, keseluruhan makanan akan rosak. Gas pula akan menyebabkan kembung perut.

CARA YANG BETUL

Makan buah apabila perut kosong atau sebelum mengambil hidangan utama. Cara ini sebenarnya adalah amalan RASULULLAH S.A.W. Apabila anda mengamalkan pemakanan buah yang betul, sistem penghadaman anda akan dinyahtoksin seterusnya memberikan bekalan tenaga yang mencukupi untuk proses penurunan berat badan dan aktiviti yang lain.

Sebaik-baiknya anda makanlah keseluruhan buah kerana ia akan membantu proses penghadaman, mengelakkan sembelit dan menyumbangkan vitamin dan mineral kepada badan anda. Buat jus buah sendiri kerana jus di pasaran sudah diproses dengan haba dan bahan kimia. Haba mungkin merosakkan nutrien dalam buah dan bahan kimia mungkin akan memudaratkan kesihatan anda.

Susu Ibu vs Susu Formula

November 1st, 2007

Secara fisiologi, susu ibu adalah cecair yang terhasil secara semulajadi khas untuk bayi. Pakar kesihatan bersetuju bahawa susu ibu memberikan nutrisi yang terbaik buat bayi. Sehingga kini, para saintis masih lagi melakukan pelbagai penyelidikan dan menemui manfaat susu ibu. Oleh itu, syarikat-syarikat yang menghasilkan susu formula tidak seharusnya bongkak dengan menyatakan produk mereka hampir sama dengan susu ibu. Hakikatnya, sebanyak mana pun wang yang digunakan oleh syarikat-syarikat ini untuk tujuan penyelidikan, kebaikan susu formula takkan menghampiri susu ibu. Senang cerita, susu lembu takkan sama dengan susu manusia!

Di samping mengandungi antibodi dan kesan imunisasi untuk menghalang jangkitan kuman, komposisi SUSU IBU boleh berubah-ubah bergantung kepada keperluan bayi. Bagaimana?

  • Kandungan susu ibu berubah dengan usia bayi: susu ibu untuk bayi pra-matang mempunyai kandungan protein yang tinggi manakala susu ibu untuk bayi 8 bulan adalah tinggi kandungan kalorinya berbanding bagi bayi 1 bulan.
  • Susu ibu berubah dengan cuaca: susu ibu mempunyai lebih banyak kandungan air apabila cuaca panas dan tinggi kandungan lemak apabila cuaca sejuk.
  • Rasa susu ibu berubah-ubah bergantung kepada makanan yang dimakan ibu: anak anda didedahkan kepada rasa yang berbeza-beza pada peringkat awal usianya lagi.

Kandungan SUSU FORMULA pula kekal sama dalam apa-apa jua kondisi. Tak termasuk lagi dengan harga susu formula yang semakin meningkat. Hmmm…..susahkan?

Pandai-pandailah anda pilih yang mana yang terbaik untuk permata hati anda.

7 Kaedah Kulit Sentiasa Awet Muda

November 1st, 2007

Tak percaya? Boleeehhh…..Anda akan sentiasa mempunyai kulit yang cantik berseri jika anda mengamalkan 7 kaedah di bawah:

1) Pelembap
Pastikan wajah anda disapu pelembap (moisturiser) yang mencukupi setiap hari kerana proses berpeluh akan mengeluarkan minyak/lembapan dari kelenjar sebum yang mengakibatkan kulit kering.

2) Pelindung UV
Jangan tinggalkan rumah di waktu siang tanpa mengenakan pelindung UV kerana ‘photoaging’ boleh terjadi. Photoaging disebabkan oleh penembusan sinar UV ke dalam epidermis kulit yang mengakibatkan kerosakan pada kapilari darah kulit serta elastin dan kolagen. Hasilnya- kulit berkedut, menggerutu dan berjeragat. Pendedahan kulit terhadap sinar UV juga akan meningkatkan risiko kanser kulit.

3) Bersenam
Bersenamlah selalu untuk menggalakkan peredaran darah yang bukan sahaja penting untuk membawa oksigen dan nutrisi kepada kulit, tetapi juga untuk mengangkut bahan kumuh daripada kulit.

4) Atasi stres
Stres atau tekanan menyebabkan pelbagai ekspresi muka seperti dahi berkerut dan mulut muncung yang membantu kulit anda berkedut. Cuba kawal emosi anda tatkala stres melanda dengan menarik dan menghembuskan nafas panjang. Yoga juga membantu untuk mengatasi stres. Jangan lokek dengan senyuman supaya anda sentiasa nampak muda!

5) Berat badan ideal
Kekalkan berat badan ideal untuk mengelakkan kulit berkedut dan menggeleber yang terhasil apabila berat badan turun-naik seperti yo-yo. Kesan regangan kulit semasa badan berisi akan menyebabkan kulit tidak dapat disokong dan menjadi menggeleber apabila berat badan turun semula.

6) Tidur yang cukup
Pastikan tidur anda mencukupi supaya kulit dapat berehat dan menerima oksigen dan nutrisi yang mencukupi. Tempoh masa tidur yang dicadangkan adalah 8 jam sehari tetapi ia mungkin berbeza bergantung kepada kesesuaian individu.

7) Makanan seimbang
Diet seimbang memainkan peranan yang penting untuk mengekalkan dan membina tisu-tisu kulit yang sihat. Amalkan banyak memakan sayur dan buah-buahan serta minum air yang mencukupi.

Nampak mudahkan? Tapi kalau yang dah bergelar ibu, tak sesenang itu. Cuba disiplinkan diri untuk mengamalkannya [pesan kat diri sendiri jugak ni :) .........]. Nak seribu daya, tak nak seribu dalih.

Mengapa menyusu bayi PENTING!

October 31st, 2007

Saya terpanggil untuk mengambil petikan daripada Al-Quran (Al-Baqarah: 233)
yang berbunyi:

Para ibu hendaklah menyusukan anak-anaknya selama dua tahun penuh, iaitu bagi yang ingin menyempurnakan penyusuan.

Daripada ayat di atas, ternyata tanggungjawab menyusukan anak anda memang terpikul di atas bahu setiap insan yang bergelar IBU. Nak tak nak, anda harus berusaha untuk menyusukan anak anda walau apa keadaan sekali pun. Bagi saya, saya hanya mampu menyusukan anak saya selama 6 bulan sahaja atas alasan susah mencari tempat yang sesuai untuk mengepam susu di tempat kerja. Akibatnya, rasa menyesal yang tak berkesudahan. Oleh itu, saya ingin berkongsi dengan anda kebaikan menyusu badan secara ringkas supaya anda teruja menyusukan cahaya mata anda.

Kebaikan kepada bayi

  • Susu ibu akan menguatkan sistem imunisasi bayi. Bayi yg disusukan jarang mendapat penyakit-penyakit jangkitan kuman contohnya pneumonia, cirit-birit dan sakit telinga.
  • Mengurangkan risiko bayi terkena asma, kencing manis, kanser dan obesiti.
  • Membantu pertumbuhan otak bayi dan membentuk perkembangan gigi, penglihatan, pertuturan dan kecerdikan bayi.
  • Memberikan nutrisi yang terbaik untuk bayi.

Kebaikan kepada ibu

  • Mengurangkan risiko pendarahan selepas bersalin.
  • Mengecutkan rahim dengan cepat.
  • Menurunkan berat badan.
  • Menguatkan struktur tulang dan mengelakkan osteoporosis.
  • Mengurangkan risiko kanser payudara dan ovari
  • Melambatkan proses menstruasi dan kesuburan. Ini akan menjarakkan kelahiran yang seterusnya.
  • Mengeratkan hubungan ibu dan anak.
  • Menjimatkan.

Jadi, apa lagi? Susukan anak anda supaya anda dan anak-anak mendapat manfaat yang berterusan!

4 perubahan pemakanan untuk mengandung

October 30th, 2007

Pernahkah anda terfikir bahawa tabiat pemakanan sebelum mengandung penting? Saya ingat hanya pengambilan ubat saja yang perlu diambil berat sebelum mengandung. Tapi, hakikatnya pemakanan bakal ibu juga sgt penting.

Persediaan untuk mengandung merangkumi tabiat pemakanan adalah seperti 4 perkara berikut:

1) Amalkan diet yang baik

  • Tabiat pemakanan yang baik perlu bagi pasangan suami dan isteri kerana ia mempengaruhi kesuburan kedua-dua belah pihak.
  • Pemakanan yang seimbang penting untuk meningkatkan peratusan untuk mengandung dan memperolehi bayi yang sihat.
  • Amalkan setiap hari memakan beberapa hidangan buah-buahan, sayur-sayuran, bijirin dan makanan yang kaya dengan kalsium seperti susu, yoghurt dan keju. Sesetengah vitamin dan mineral seperti vitamin C dan E, zink dan asid folik, penting untuk membentuk sperma yang sihat dan berkualiti.
  • Kekurangan sumber nutrien dalam badan boleh mempengaruhi kitaran haid yang mengakibatkan kesukaran untuk meramal masa subur (ovulasi).
  • Kekurangan berat badan yang drastik dan obesiti boleh megakibatkan ovulasi tidak berlaku.

2) Perkara yang perlu dielakkan

  • Tinggalkan tabiat merokok, meminum alkohol, pengambilan dadah dan ubat-ubatan (Kecuali dengan nasihat doktor. Maklumkan kepada doktor yang anda merancang untuk hamil supaya boleh diberikan ubat yang bersesuaian). Kesemua komponen tersebut boleh mengganggu perkembangan fetus.
  • Kurangkan kadar pengambilan kafein dalam diet seperti kopi. Pakar bersetuju bahawa pengambilan kafein yang kurang daripada 300 mg sehari (bersamaan dengan 3 cawan kopi) tidak akan mempengaruhi kesuburan. Walau bagaimana pun, terdapat doktor yang mencadangkan supaya pengambilan kafein dihentikan terus untuk mengelakkan risiko.
  • Terdapat beberapa jenis ikan mepunyai kandungan merkuri yang tinggi. Merkuri boleh berkumpul di dalam badan anda dan kekal melebihi setahun di mana ia adalah merbahaya bagi bayi anda. Elakkan memakan ikan yang mengandungi tinggi kadar merkuri seperti jerung, todak dan makerel semasa anda mencuba untuk mengandung. Sebaliknya, makan ikan rendah kandungan kalori seperti salmon dan tuna.
  • Daging yang diproses (daging dalam tin, rendang segera, daging salai), sushi mentah dan produk susu tidak dipasteur (keju lembut) harus dielakkan kerana berkemungkinan terdapat bakteria merbahaya seperti Listeria yang boleh mengakibatkan listeriosis (jangkitan disebabkan Listeria) Jangkitan ini boleh mengakibatkan keguguran dan kelahiran pra-matang. Pastikan makanan anda dipanaskan dengan betul untuk mengelakkan listeriosis.

3) Pengambilan suplemen vitamin dan mineral

  • Pengambilan vitamin dan mineral memastikan anda memperolehi asid folik dan nutrien lain untuk meningkatkan kemungkinan anda mengandung. Pastikan anda mengambil suplemen yang dikhaskan untuk bakal ibu kerana terdapat banyak suplemen yang mempunyai dos tinggi yang boleh memberikan impak buruk pada perkembangan bayi.
  • Pengambilan asid folik telah terbukti dapat mengurangkan risiko ‘spina bifida’ (kecacatan salur neural melibatkan pembentukan saraf tunjang yang tidak sempurna), serangan jantung, kanser dan kencing manis pada bayi. Jumlah minimum yang perlu bagi pengambilan asid folik ialah 400 mikrogram sehari. Jika anda mempunyai latar belakang keluarga yang mempunyai kecacatan salut neural, doktor berkemungkinan mencadangkan pengambilan 4000 mikrogram sehari, bermula sekurang-kurangnya sebulan sebelum mengandung sehinggalah trimester pertama kandungan. Suplemen prenatal yang baik seharusnya mengandungi lebih daripada cadangan minimum asid folik, diantara 600-800 mikrogram.
  • Sebagai tambahan, makan makanan yang kaya dengan folate seperti sayuran hijau (bayam), buah-buahan sitrus, kekacang, bijirin, roti dan bijiran yang diperkaya. Asid folik merupakan vitamin larut air, maka badan anda akan membuang yang berlebihan jika anda mengambilnya terlalu banyak. Walaubagaimana pun, pastikan anda masak sayur-sayuran dengan menggunakan jumlah air yang sedikit bagi mengelakkan pembaziran asid folik terlarut dalam air.

4) Dapatkan berat badan yang ideal

  • Kurangkan berat badan jika anda obes dan naikkan jika anda terlalu kurus. Anda perlu mempunyai berat badan bersesuaian dengan julat BMI anda.
  • Terlalu gemuk atau kurus akan menyebabkan kesukaran untuk mengandung.
  • Wanita obes yang mengandung mempunyai risiko mendapat kencing manis dan darah tinggi serta mengalami komplikasi kelahiran.
  • Wanita yang terlalu kurus pula berkemungkinan melahirkan bayi yang kurang berat badannya.
  • Rancang pemakanan yang sihat dengan makanan yang tinggi fiber dan rendah lemak serta mulakan rutin bersenaman. Jika anda obes, target untuk turunkan berat badan ½-1 kg seminggu. Penurunan berat badan yang ekstrem boleh mengurangkan stor nutrient dalam badan yang bukannya cara yang sihat untuk mengandung.

Istimewa buat ibu :)

September 28th, 2007

Dah lama saya mengimpikan ‘kelahiran’ blog ini. Alhamdulillah, akhirnya dengan bantuan dan sokongan suami tercinta, impian saya tercapai. Kenapa Srikandi Mama? Jawapannya mudah. Informasi berguna yang berkait rapat dengan kehidupan sebagai ibu ingin saya kongsi buat manfaat bersama. Harapan saya agar blog ini akan membantu anda bersedia menempuh liku-liku sebagai wanita, isteri dan ibu; kalau tak banyak, sikit pun jadilah……..

Jangan baca saja, tapi amalkan yang mana yang baik [ pesan pada diri sendiri jugak nih :> ].