Mengidam Semasa Mengandung

December 5th, 2007

Terdapat wanita mengandung yang mengalami keinginan yang sangat tinggi untuk makan sesuatu. Keadaan ini di panggil mengidam. Para penyelidik telah cuba menentukan sama ada wanita yang mengidam makanan tertentu kekurangan nutrien yang terkandung dalam makanan tersebut. Walau bagaimana pun, ini bukanlah sebabnya dan puncanya yang sebenar masih menjadi tanda tanya.

Sesetengah pakar perubatan menjangkakan mengidam berlaku disebabkan perubahan hormon yang berlaku dalam tubuh wanita mengandung. Perubahan hormon boleh meningkatkan kepekaan deria bau (yang berkait rapat dengan deria rasa) pada wanita mengandung, sekaligus mempengaruhi pemakanannya. Alahan semasa mengandung seperti pening, kembung perut, keletihan atau muntah-muntah akibat perubahan hormon juga boleh menjadi sebab wanita mengandung mengidamkan makanan yang boleh mengurangkan atau melegakan alahan.

Kebanyakan wanita mengandung mengidam makanan daripada coklat sehinggalah nasi beriani yang dijual di kedai mamak sahaja. Kadang-kadang permintaan untuk menikmati makanan yang diidamkannya boleh timbul bila-bila masa saja termasuklah pukul 2, 3 pagi (kesian suami…). Mengidam makanan yang berkhasiat seperti buah-buahan tidak akan mendatangkan masalah.

Mengidam boleh mendatangkan masalah apabila ibu mengidam sesuatu yang pelik seperti tepung jagung atau benda yang bukan makanan seperti tisu, tanah liat dan sebagainya. Walau pun tepung jagung adalah makanan, pengambilannya yang berlebihan boleh menyebabkan anda terlalu kenyang, mengganggu sistem penghadaman dan menyekat selera anda untuk mengambil makanan berkhasiat. Mengidam benda yang bukan makanan atau “pica” harus dielakkan kerana ia mungkin akan memudaratkan bayi dan ibunya. Jika anda mempunyai keinginan tinggi untuk mengambil sesuatu yang pelik atau bukan makanan, berjumlah doktor untuk langkah seterusnya.

Cuba elakkan mengambil makanan yang disenaraikan di bawah walau pun setinggi mana keinginan anda untuk memakannnya kerana ia boleh memudaratkan kandungan anda:

  • Makanan laut, daging dan telur mentah atau yang tidak masak sempurna (ex: sushi, telur kampong mentah, rare @ medium steak)
  • Susu atau hasil tenusu yang tidak dipasteur (ex: Mexican cheese, unpasteurised milk)
  • Jus buah atau sayur yang tidak dipasteur
  • Teh herba
  • Alkohol

Mengidam sebenarnya tidak akan mendatangkan masalah selagi ibu mengandung mengambil diet yang seimbang. Walau bagaimana pun, berhati-hati jika anda menggemari makanan yang berkalori tinggi seperti makanan manis dan berlemak kerana ia akan meningkatkan risiko kencing manis dan darah tinggi semasa mengandung.

Cara untuk mengatasi mengidam semasa mengandung adalah seperti di bawah:

  • Jadikan pemakanan anda seimbang apabila anda mengidamkan makanan yang tinggi kalori. Contonya, lebihkan aneka buah-buahan dalam ais krim anda supaya seimbang nutriennya.
  • Fokuskan pemakanan anda pada makanan yang rendah kalori seperti yoghurt, oat meal bar.
  • Jika anda mengidam makanan yang tinggi kalori, beli saiz yang lebih kecil supaya mengelakkan pemakanan yang berlebihan.
  • Jika mengidam ‘menguasai’ hidup anda, cari aktiviti yang boleh membuatkan anda melupakannya seperti berjalan-jalan bersama suami dan menonton wayang.
  • Makan dengan jumlah yang sedikit tetapi kerap supaya paras gula dalam darah tidak jatuh yang boleh menyebabkan anda makan berlebihan. Cuba makan makanan seimbang 6 kali sehari.
  • Lakukan aktiviti fizikal dan senaman yang dibenarkan oleh doktor.
  • Ambil makanan seimbang termasuk susu, bijirin, sayur dan buah-buahan.
  • Sokongan moral amat penting kerana emosi ibu mengandung yang tidak stabil akan menjadikan makanan sebagai teman rapat, sedangkan pelukan daripada suami sebenarnya sudah mencukupi untuk meredakan emosi ibu mengandung

Suami dan Seks Mengejut

November 29th, 2007

Seks dan kehidupan berumahtangga memang tidak dapat dipisahkan. Naluri seksual adalah fitrah bagi setiap insan dan perkahwinan merupakan jalan yang terbaik untuk menyalurkannya. Memenuhi kehendak seksual pasangan masing-masing adalah sangat penting sehinggakan dianggap ibadah.

Pernahkah suami anda tiba-tiba pulang ke rumah sewaktu kerja, menarik anda ke bilik, mengunci pintu dan terus melakukannya? Bertuahlah anda kerana suami anda merupakan lelaki yang amanah dalam menjaga kemaluannya hanya di jalan yang dihalalkan Allah.

Zaman sekarang merupakan cabaran yang besar bagi lelaki kerana rata-rata pakaian wanita terdedah sana sini dan memang tak cukup kain. Ada juga wanita Islam yang tidak menutup auratnya dengan sempurna. Pakai tudung tapi dada terdedah dengan pakaian ketat membaluti tubuh. Pendek kata, memang susah betul suami kita nak jaga mata, apatah lagi nak elakkan diri daripada terangsang nafsu shahwatnya.

Sabda Rasulullah S.A.W. yang bermaksud: “Jika kamu melihat seorang wanita dan hatimu menjadi cenderung kepada wanita itu maka dia hendaklah pulang menemui isterinya dan mendatangi tempat tidurnya supaya terhindar dari kekejian.” (Hadis Riwayat Muslim)

Memang jelas sudah menjadi tugas anda sebagai isteri untuk melunaskan shahwat suami yang sedang bergelora walau pun anda sendiri tidak mendapat kepuasan. Manalah tau, di tempat kerjanya penuh dengan wanita-wanita seksi yang menguji imannya. Yang sebenarnya, anda telah berjaya menjaga shahwat dan kemaluan suami anda, di samping mewujudkan sikap bertolak ansur dan tidak mementingkan diri sendiri. Masih ada banyak peluang lagi untuk anda sama-sama mendapat kepuasan.

Keinginan seksual lelaki sebenarnya sukar dijangka masa dan ketikanya. Jika suami berkehendakkan anda, harus segera ditunaikan sehinggakan Rasulullah S.A.W. bersabda: “Apabila seorang suami mengajak isterinya maka penuhilah segera kehendaknya meskipun dia berada di dapur.”(Hadis riwayat al-Tirmizi dan Ibnu Hibban). Anda harus berbangga kerana suami telah memenuhi keinginan shahwatnya dengan isteri sendiri dan bukannya dengan wanita lain. Pendek kata, anda telah menyelamatkan suami daripada berzina.

Kalau anda bergaduh atau merajuk sekali pun, hasrat suami harus dipenuhi. Janganlah terlalu mengikut kehendak hati dan ego anda. Walau pun hakikatnya anda sedang berjauh hati dengan suami, anda tidak dianggap kalah jika memenuhi tuntutan seksualnya. Sebaliknya, kemenangan di pihak anda kerana berjaya menambat hati suami.

Sabda Rasulullah S.A.W. lagi, “Apabila suami memanggil isterinya ke tempat tidur kemudian isteri tidak mendatanginya sehingga suami marah maka para malaikat akan mengutuk isteri itu hingga ke waktu pagi.” (Hadis Riwayat Muslim). Dalam riwayat yang lain dinyatakan; “Sehinggalah suaminya reda.”

Begitu besarnya implikasi terhadap isteri apabila menolak keinginan seksual suami. Kesimpulannya, kelembutan, tolak ansur dan keikhlasan isteri dalam melayani suami sangat penting. Hiasilah diri dengan cantik di depan suami (jangan bila keluar rumah sahaja) supaya dia sentiasa tertarik dengan anda. Perkahwinan akan menjadi lebih bermakna, insya Allah….

Panduan Pemakanan Ibu Mengandung

November 28th, 2007





Semasa mengandung, anda bukan sahaja perlu meningkatkan jumlah pemakanan anda, tetapi yang lebih penting ialah apa yang anda makan. Kebiasaannya, wanita mengandung memerlukan penambahan 300 kalori/hari daripada biasa terutamanya semasa trimester terakhir di mana bayi membesar dengan pantas. Penambahan 300 kalori sehari tersebut penting diperolehi daripada makanan yang berkhasiat supaya ia boleh menyumbang kepada pembentukan dan perkembangan bayi.

Mengapa pemakanan sihat penting semasa mengandung

Pernahkah anda terfikir mengapa berat badan anda bertambah 10-15 kg (secara purata) semasa anda mengandung sedangkan berat bayi yang baru lahir hanya ¼ daripada itu? Walau pun ianya berbeza bagi setiap individu wanita yang mengandung, faktor-faktor di bawah menyumbang kepada pertambahan berat badan:

  • Berat bayi : 2.5 – 3 kg
  • Penyimpanan protein, lemak dan nutrien lain yang berlebihan : 2.75 – 3 kg
  • Penambahan darah : 1.5 – 2 kg
  • Penambahan cecair badan yang lain : 1.5 – 2kg
  • Pembesaran payudara : 0.75 – 1 kg
  • Pembesaran uterus (rahim) : 0.75 – 1 kg
  • Cecair amniotik (air ketuban) : 0.75 – 1 kg
  • Plasenta (uri) : 0.5 – 0.75 kg

Selain daripada penambahan berat bayi, faktor-faktor lain juga penting untuk memastikan fisiologi ibu berubah mengikut keperluan ibu mengandung. Corak penambahan berat semasa mengandung bagi individu juga berbeza. Jika anda mula mengandung semasa berat badan berlebihan, berat anda mungkin akan turun sedikit pada awal trimester manakala penambahan akan berlaku bagi ibu yang kurus atau mengandung anak kembar.

Makanan semasa mengandung

Semasa mengandung, apa sahaja yang anda makan dan minum merupakan sumber utama nutrien bagi bayi anda. Pemakanan anda berkait rapat dengan kesihatan bayi sehinggakan kebanyakan doktor menasihatkan supaya tidak mengambil sebarang risiko dengan makan makanan yang berkemungkinan memudaratkan bayi seperti alkohol.

Sama ada anda mengandung atau tidak, diet yang sihat merangkumi protein, karbohidrat, lemak, vitamin, mineral dan air yang mencukupi. Jika anda mengamalkan pemakanan mengikut sistem piramid makanan, ini menunjukkan yang anda berpotensi untuk menjadi individu yang sihat.

Penting bagi ibu mengandung untuk memvariasikan makanannya bagi memperoleh semua keperluan nutrisi ibu dan bayi. Makanan yang perlu dimakan semasa mengandung ialah:

  • Buah-buahan dan sayur-sayuran – target untuk makan 5 hidangan sehari termasuk sebagai snek, jus dan salad.
  • Makanan berkanji – roti, nasi, pasta, ubi kentang. Banyakkan bijirin penuh (wheat, whole grain)
  • Makanan berprotein tinggi – Daging, ayam, ikan, telur, kekacang (soya). Banyakkan makan ikan sekurang-kurangnya 2 kali seminggu.
  • Makanan berkalsium tinggi – Susu, yoghurt, cheese.
  • Makanan berserat tinggi – Jadikan sayur, buah, bijirin dan kekacang sebagai makanan kegemaran kerana ia boleh mengelakkan sembelit.

Piramid makanan

Piramid Makanan

Minum banyak air dan elakkan makanan berlemak dan bergula tinggi seperti kek dan coklat kerana ia mengakibatkan pertambahan berat badan berlebihan dan seterusnya meniggikan risiko mendapat kencing manis (gestational diabetes mellitus)

Jika anda sukakan snek, ambil raisin, biskut bijirin penuh (Jacob’s atau IKO), salad buah, yoghurt atau sebarang makanan bernutrisi yang lain.

Perkara yang perlu diambil berat semasa membeli makanan

Makanan basah seperti ikan, ayam dan daging harus dibeli segar dan dijamin kebersihannya. Pastikan sayur-sayuran dan buah juga segar dan tidak mengandungi pestisid (kebiasaannya, sayur berlubang dimakan ulat atau serangga tiada pestisid). Bagi makanan yang dibungkus atau dalam tin, baca label makanan yang menunjukkan kandungan nutrisi dan kalori makanan tersebut. Terdapat juga label makanan yang memberikan cadangan hidangan yang bersesuaian bagi diet seharian. Apabila anda mengandung, cadangan hidangan bersesuaian juga sebenarnya bertambah seiring dengan keperluan untuk penambahan kalori. Periksa label makanan sebelum membelinya supaya makanan tersebut dapat dipastikan:

  • HALAL kerana makanan akan menjadi darah daging anda dan bayi
  • Berkhasiat untuk kesihatan anda dan bayi

Perhatikan juga tarikh lupus (expiry date) makanan dan pastikan pembungkus / tin makanan dalam keadaan sempurna (tiada kebocoran, tercemar, kemek). Walau pun nampak remeh, tetapi ia sebenarnya penting kerana makanan yang tercemar atau sudah lupus tarikhnya boleh menyebabkan anda keracunan makanan sekaligus boleh memudaratkan kesihatan bayi anda.

Bagaimana anda tahu yang pemakanan anda sihat semasa mengandung

Kunci utamanya ialah dengan mempelbagaikan pengambilan makanan dalam kumpulan yang berbeza-beza (seperti yang dicadangkan di atas) dengan jumlah yang mencukupi. Jangan risau jika anda mengalami alahan yang teruk dan tiada selera makan pada trimester pertama. Keadaan ini tidak akan memberikan impak yang besar kepada bayi anda kerana bayi akan mendapat nutrisi terdahulu daripada anda sebaik sahaja anda makan. Bagi yang mengalami alahan yang mencapai trimester kedua sehingga bersalin, pastikan anda tetap makan makanan berkhasiat- biar sedikit tetapi kerap. Walau pun penambahan berat badan ideal semasa mengandung yang dicadangkan ialah 10-15 kg (kebiasaannya 1.5 – 2.5 kg pada trimester pertama dan 0.25 – 0.5 kg / minggu pada trimester ke -2 dan 3), jangan hadkan diri anda. Sebaliknya, fokus pada pemakanan yang sihat dan seimbang untuk memastikan anda dan bayi sihat.

p/s: inginkan informasi yang lebih? Gunakan aplikasi ini..


Google

Panduan Menyusu 2

November 27th, 2007

Keadaan yang akan terjadi kepada anda(ibu), bayi anda dan susu anda pada minggu-minggu terawal selepas kelahiran.

Keadaan  ibu dan susu

  • Kelahiran -  Susu anda berwarna kuning atau keemasan. Jumlahnya mungkin sedikit tetapi mencukupi buat bayi anda untuk memberikan perlindungan terhadap penyakit. Anda akan berasa letih tetapi seronok atas kehadiran ‘orang baru’. Masa yang sangat sesuai untuk memulakan penyusuan.
  • 12-24 jam selepas kelahiran - Bayi anda akan minum lebih kurang 1 sudu kecil susu anda setiap kali menyusu. Jumlahnya mencukupi untuk keperluan bayi anda. Pastikan rehat mencukupi dan eratkan hubungan anda dan bayi. Payudara mungkin terasa lembut sedikit. Jika proses penyusuan menyakitkan, dapatkan bantuan daripada individu yang pernah membantu ibu-ibu menyusu. Penyusuan bayi tidak sepatutnya menyakitkan.
  • Hari ke 2-5 selepas kelahiran – Susu matang anda akan terbentuk. Warnanya seakan putih kebiru-biruan dan mungkin akan kelihatan kuning keemasan sedikit selama 2 minggu. Payudara anda akan terasa penuh dan mungkin keluar meleleh. Anda boleh menggunakan pad pakai buang atau yang boleh dibasuh di dalam baju dalam anda untuk menyerap lelehan susu. Jika payudara bengkak dan keras, keluarkan sedikit susu sebelum menyusu bayi anda. Dalam tempoh senggang masa penyusuan, gunakan ais untuk mengurangkan bengkak yang biasanya hilang dalam 1-2 hari. Penyusuan bayi akan membantu menghilangkan bengkak.
  • Minggu 4-6 selepas kelahiran - Susu anda akan beransur-ansur kelihatan putih kebiruan pada permulaan penyusuan dan krim putih menjelang akhir penyusuan. Warnanya mungkin akan berubah sedikit dari hari ke hari bergantung pada apa yang anda makan, tetapi ia tidak akan memudaratkan bayi. Badan anda sudah teradaptasi dengan proses penyusuan. Payudara menjadi semakin lembut dan lelehan susu akan berkurangan. Jangan risau kerana anda masih mempunyai susu.

Keadaan bayi 

  • Kelahiran – Bayi anda kebiasaannya dalam keadaan sedar dan peka dalam 1 jam pertama selepas kelahiran. Merupakan masa yang terbaik bagi bayi untuk mula menyusu.
  • 12-24 jam selepas kelahiran – Apabila bayi anda sedar dari tidur, dia akan mempunyai keinginan yang kuat untuk menghisap dan menyusu. Sesetengah bayi mungkin akan tidur dalam jangka masa yang panjang. Keadaan ini normal kerana proses bersalin memberikan tekanan kepada bayi dan meletihkannya. Bayi anda mungkin terlalu mengantuk untuk menyusu dengan baik di peringkat ini. Penyusuan mungkin singkat dan masanya tidak menentu. Namun begitu, bayi akan menyukai rasa susu anda. Bayi anda mungkin akan menyusu, terlelap, menyusu lagi dan kemudian tertidur. Pastikan bayi anda tidak menerima air atau susu formula kecuali diperlukan untuk keperluan perubatan.
  • Hari ke 2-5 selepas kelahiran – Bayi anda akan menyusu dengan kerap dalam julat 8-12 kali setiap 24 jam. Penyusuan yang kerap adalah normal kerana perut bayi anda yang kecil. Kebiasaannya, bayi yang menyusu tiada jadual yang tetap dan mengikut keperluannya. Penyusuan setiap 1-2 jam sekali adalah normal. Tempoh masa penyusuan sebelah payudara adalah 15-20 minit bergantung kepada bayi anda. Bayi anda munkin akan menyusu di payudara secara bergilir atau mungkin hanya menyukai sebelah sahaja. Selepas kelahiran, adalah normal untuk berat bayi menyusut sedikit. Berat bayi anda akan bertambah selepas 10-14 hari umurnya.
  • Minggu 4-6 selepas kelahiran – Penyusuan lebih sekejap dan jarak masanya lebih jauh. Bayi yang menyusu badan akan kerap menyusu kerana merasa selesa dan selamat apabila dia rapat dengan anda. Bayi anda akan semakin mahir menyusu dan perutnya telah membesar untuk menampung susu yang diminum.

Harga Seorang Anak

November 27th, 2007

Dalam kegembiraan kita menimang cahaya mata, banyak perkara yang perlu difikirkan tentang kos perbelanjaan anak. Selain susu, makanan, lampin pakai buang, pakaian, nurseri, tadika dan perbelanjaan asas anak anda, anda juga mungkin perlu pindah ke rumah yang lebih besar dan mencari kawasan yang mempunyai sekolah yang baik. Sebagai ibu dan isteri, anda juga mungkin terpaksa menjadi suri rumah untuk menjaga keperluan anak anda.

Bagaimana pula dengan kos pendidikan anak? Saya pasti, setiap ibu bapa menaruh harapan tinggi supaya anak-anak ke universiti untuk menjadi individu yang berilmu. Walau bagaimanapun, kos ke universiti semakin lama, semakin tinggi. Zaman saya mengambil Sarjana Muda dulu di salah satu IPTA di Malaysia memakan kos RM 21,000. Itu pun, dengan pinjaman penuh daripada PTPTN. Menurut saudara-mara yang mempunyai anak di universiti sekarang, pinjaman PTPTN payah untuk diperolehi secara penuh dan hanya merangkumi bayaran yuran dan asrama sahaja. Kos sara hidup adalah daripada biasiswa “FAMA” (gabungan father mother) sepenuhnya.

Pakar perancang kewangan Malaysia, YKConsultancy, membuat anggaran kos yang diperlukan untuk belajar di universiti menjelang 2014 di Malaysia dan juga beberapa negara terkemuka:

  • Malaysia – RM 159,000
  • Australia – RM 615,000
  • Amerika Syarikat – RM 858,310
  • United Kingdom – RM 973,000

Sejauh mana ketepatan anggaran di atas, saya tidak dapat pastikan. Yang pastinya, kos sara hidup semakin meningkat dan tidak pernah turun. Sebagai ibu bapa, pastikan keadaan kewangan anda stabil sebaik sahaja anda merancang untuk mendapat anak, demi menjamin kebajikan dan masa depan mereka. Langkah-langkah yang boleh diambil ialah:

  • Pastikan anda merancang kewangan anda dengan baik dan dapatkan nasihat daripada yang pakar.
  • Pastikan anak-anak anda diajar dengan tabiat berjimat-cermat dan menabung.
  • Ambil insuran pendidikan untuk anak-anak.
  • Bagi suri rumah, ambil inisiatif untuk mencari pendapatan sampingan melalui kepakaran yang ada (ex: menjahit).

Fakta Kentut

November 27th, 2007

Saya tak pernah terfikir pun pasal fakta-fakta saintifik kentut ni begitu menarik dan sebenarnya berkait rapat dengan kesihatan kita. Kalau tak percaya, baca…….

Kenapa kita kentut?

Kentut merupakan fenomena semulajadi yang berlaku pada manusia. Berbohonglah sesiapa yang mengaku tidak pernah kentut. Manusia kentut untuk mengeluarkan gas yang akan memudaratkan sistem badan.

Secara purata, lelaki mengeluarkan kentut sebanyak 1.5-2.5 liter sehari manakala wanita sebanyak 1-1.5 liter sehari, dalam julat 5-20 kali sehari. Ini bergantung kepada individu dan makanan yang diambilnya.

Apabila anda bernafas melalui mulut, hampir keseluruhan gas oksigen telah diserap oleh badan sebelum dapat melalui usus (intestin). Gas yang sampai ke usus besar ialah nitrogen. Tindak balas kimia yang berlaku dia antara asid perut dengan cecair usus serta tindak balas bakteria akan menghasilkan gas karbon dioksida. Bakteria juga menghasilkan gas hidrogen dan metana.

Penyelidikan menunjukkan bahawa gas kentut kebiasaannya terdiri daripada 60% nitrogen, 30% karbon dioksida dan 10% campuran gas metana dan hidrogen. Walau bagaimana pun, komposisi gas yang keluar dari badan anda bergantung kepada beberapa faktor:

  • Makanan
  • Udara yang disedut
  • Jenis bakteria dalam usus
  • Tempoh masa kentut ditahan keluar

Lebih lama kentut ditahan, lebih banyak jumlah gas nitrogen terkandung dalam kentut, kerana gas-gas lain akan diserap ke dalam salur darah melalui dinding usus. Seseorang yang sedang dalam keadaan cemas atau darah gemuruh akan bernafas dengan lebih laju dan sistem penghadamannya akan menjadi lebih pantas. Keadaaan ini akan menyebabkan kandungan oksigen dalam kentutnya menjadi lebih tinggi kerana pergerakan udara yang pantas mengakibatkan badannya tidak sempat untuk menyerap oksigen

Kenapa kentut berbau?

Bau busuk kentut adalah disebabkan oleh kehadiran 1% gas hidrogen sulfide, indole, ammonia dan skatole. Kebanyakan komposisi yang membentuk bau busuk kentut ini terdiri daripada sulfur. Lebih banyak kandungan sulfur dalam diet anda, lebih banyak skatole dan skatole akan dihasilkan oleh bateria dalam usus anda; maka lebih busuklah kentut anda! Makanan seperti kobis bunga, telur, bawang dan daging kebiasaannya menyebabkan kentut berbau busuk, manakala kekacang menghasilkan kentut yang kurang berbau busuk.

Kenapa kentut berbunyi?

Bunyi yang terhasil semasa kentut disebabkan oleh getaran lubang dubur (anus). Semasa anda membuang air besar, lubang anus akan terbuka dengan besar manakala semasa kentut kadar pembukaannya lebih kecil. Tenaga dan kekuatan bunyi kentut bergantung kepada halaju dan kauntiti gas yang akan keluar.

P.S : Sebenarnya kentut merupakan antara nikmat Tuhan yang paling bes, betul tak?

Dari Seorang Lelaki

November 20th, 2007

Artikel ni saya petik daripada e-mail yang diterima daripada seorang kawan. Menarik, kelakar dan yang paling penting membawa mesej yang tak ternilai…..

Teringat pasal satu cerita. Seorang lelaki balik rumah dan kehairanan apabila halaman rumah berselerak, surat di peti pos tak berambil, anak- anak tengah main korek-korek tanah kotor, baju compang camping, penuh dengan tanah dan kotoran rambut tak bersikat dan tak bermandi. Apabila masuk ke pintu rumah, lagi lelaki tu terkejut apabila ruang tamu lagi teruk berselerak. Lelaki itu melaung nama isterinya. Sepi tiada jawapan. Bila masuk ke dapur, sinki penuh dengan pinggan mangkuk dan periuk yang tidak bercuci. Dia mencari apa yang boleh dimakan tetapi tiada makanan yang dimasak. Masuk ke bilik air pula, baju masih belum berbasuh, apatah lagi berendam.Lelaki itu cemas mencari isterinya. Dia bergegas ke tingkat atas, melihat isterinya terbaring di atas katil sedang membaca buku. “Awak sakit ke?”, tanya lelaki itu. “Tak lah”, jawab isterinya ringkas. “Kenapa teruk sangat rumah kita hari ni?”, tanya si suami lagi sambil meletakkan tangan di dahi isterinya, kot-kot isterinya demam. Balas isterinya “Wahai suamiku, semalam semasa kita bertengkar, abg mengatakan yang saya ini hanyalah seorang suri rumah, duduk di rumah tidak sepenat diri abg yang duduk di pejabat, dan abg sering menanyakan apa kerja yang saya lakukan di rumah yang menyebabkan saya merungut kepenatan kadang-kadang. ….NAH, HARI INI SAYA TIDAK MELAKUKAN KERJA-KERJA YANG BIASA SAYA LAKUKAN SETIAP HARI.”

“Wanita adalah insan istimewa, biarkan mereka terus membebel,merengek atau mengilai seperti pontianak . Seburuk-buruk perangai wanita, ia akan terus melekat di hati kita selagi hayat di kandung badan…

As for me is different, if my wife is not at home, rumah boleh jadik porak peranda. Memang true, jika isteri ada dirumah, kepala slalu pening. Pantang kalau isteri ada kat rumah and i’m off duty, sure at times boleh membuat kepala berserabut. Kalau madam takde kat rumah, alangkah tenteramnya hidup ini. Boleh buat apa yang kita suka. Boleh belengkar kat depan TV tanpa sebarang gangguan mental dah fizikal. Pendek kata, FreeeDoMmmmmlah!!

But hairan bin ajaib, when dia betul-betul pergi meaning “She’s Gone”, aku pulak terasa separuh mati. Sehari dua memanglah shiookkkk, no one shouting from the kitchen for help, no one to komen this and that, no one to criticise. Everything will be smooth… Tapi, masuk hari ketiga, I felt something is missing. Lebih-lebih lagi bila tuala mandi dah berbau ‘assshheemmmm’, tak tahu mana nak carik yang baru. Colgate gigi dah abis, tak tahu kat mana dia stock up. Air suam dah abis, malas nak boil…Masuk hari ke-4, rindu mula terasa. Eventhough kat office, ramai yang cun melecun,wajahnya yang dah ditatap sejak tarikh bernikah itu juga yang mengetuk pintu hati. Memang lah dia tak se-cun SITI NURHALIZA but the smile yang ikhlas, forever melekat kat hati and sukar ada pengganti. Apabila rindu mencengkam, semuanya jadi tak tentu arah. Tengok TV citer best pun jadik tak best.

Nasik bungkus faberite jadik tak faberite. Makan kat 5 star hotel jadik rasa cam makan kat kedai AA. Lebih-lebih lagi bila laundry basket dah makin bertimbun ngan baju kotor, fresh sluar dalam pun dah abis utk dipakai.

Toilet dah mula licin berdaki…lantai dah berbelak, tak dimop…Everynite, very the lonely, baring atas katil nengok ceiling blindly… bila lonely gini, baru lah rasa benar kesepian. Jangan kata sebulan atau setahun….belum seminggu isteri takde kat rumah, aku dah terasa separuh pengsan.

Bila bersendirian begini,dan terasa malam begitu dingin, barulah kita sedar betapa pentingnya seorang wanita bernama isteri…begitulah isteri kita rasa bila kita tinggalkan dia sendiri malam2 agaknya ya..

So guys out there… jgn buli isteri kita. Kalau boleh, tolong dia buat kerja rumah. Bukan dok depan TV every weekend baca paper. Apa ingat dorang ni sumer kuli ke?! Maid ker?!! Kan dia tu bini kita, best fren kita, sweetheart kita… Ingat duit hantaran yang kita kasik dia masa nikah dulu cukup ker nak bayar gaji dia seumur hidup??!!

And furthermore, kan sama2 keja carik rezeki, sama jugak lah buat keja rumah. Kadang2 bila poket kita sesak, tak ingat ker dialah orang yang paling terdekat kita nak kenyeng-kenyeng duit. Tak kesian ker nengok bini kita? Dah ler satu hari keja kat office, balik kena buat keja rumah lagi…penat tau!! Kalau aku lah diberi peluang jadik seorang wanita…tak rela!!!

So to all mums and wives out there… life will be meaningless without you .

Bagaimana rasanya sehari tanpa ibu? I dunno lah anak-anak sekarang,tetapi when i was small, sekiranya emak tiada, semua jadi serba tidak kena! Usahkan seminggu, dua hari sahaja dia tiada dirumah, hidup bagaikan dah tak bermakna. Memanglah, mula-mulanya emak keluar rumah, hati melonjak HAPPINESS!!!

Kalau mak tak ada, telinga boleh lega sebab if she’s around, for sure 24 hours tak habis-habis berleter…. pottttt peeettt pooott peettttt, boleh pecah eardrums. And if mak menjerit, boleh bergegar isi perut. Silap gaya , tingkap pun boleh tercabut… And if mak takde, BangZaiiiiii!!! MerdeKa!!!FreeDoMmm mmm!!! Can do whatever!!! Boleh main bleyblade sampai senja, boleh tido rumah kawan, boleh chatting sampai nak terkeluar biji bola mata, boleh bergayut kat talipon ngan “dear” sampai subuh and paling shiookkk, boleh ponteng solat!!

But, the happiness does not long last. Masuk hari ke-2 dah terasa kehilangan. Sepi betul rasanya bila tak mendengar leteran mak. Rumah jadik sesepi-sepinya cam “haunted village”. Pada ketika itulah baru kita sedar bahawa leteran mak yang seperti murai, sebenarnya penyeri rumah. Tanpa leteran itu, semunya seperti MATI… Without mum, hidup ni tak ada cabaran, not challenging, no suspense. Balik kul braper pun, takde orang nak membebel, takde orang nak pulas telinga. Our life graph becomes very the monotenous, then we realised, jari jemari mak yang suka cubit dah memiat telinga rupanya menjadikan hidup lebih bermakna. Pendek kata, biarlah mak membebel sepanjang hari. Biarlah dia menjentik telinga. Tanpanya, hidup tidak berseri dan tak bererti.

Demikianlah besarnya erti seorang EMAK, IBU, UMMI, MUMMY, MAMA in our life!!
Sekian terima kasih.

Obesiti akibat Kurang Tidur

November 20th, 2007

Individu yang kurang tidur akan merendahkan kadar metabolisme badannya. Akibatnya, anda akan menjadi kurang aktif dan tidak bermaya, sekaligus melambatkan pembakaran kalori. Hasilnya, OBESITI yang boleh mengganggu keyakinan diri dan hubungan sosial terbentuk.

Atasi masalah ini dengan memastikan masa tidur anda melebihi 5 jam sehari di samping mengamalkan senaman yang mencukupi dan pemakanan yang seimbang. Mudahkan!

Pembentukan Memori yang Baik

November 20th, 2007

Objektif pembelajaran ialah untuk mengingat dan memahami apa yang diajar dan mengaplikasikannya dalam kehidupan seharian. Memori yang baik berkeupayaan untuk menyimpan dan mengeluarkan kembali informasi yang diperlukan dalam jumlah yang besar.

Memori anak anda akan berkembang sejajar dengan usianya. Kebiasaannya, ibu bapa amat menitik beratkan keupayaan anak mereka untuk mengingat kerana mereka percaya memori yang baik akan menjamin prestasi akademik yang cemerlang.

Melalui penyelidikan, telah terbukti bahawa pembelajaran matematik atau muzik bermula daripada usia awal bayi anda, akan merangsang dan memperbaiki keupayaan memori mereka. Selain itu, kaedah-kaedah lain boleh diaplikasikan kepada anak anda untuk meningkatkan kupayaan pembelajaran dan memori anak anda:

Pemakanan yang baik

  • Pemakanan yang seimbang akan membantu anak anda membesar dengan sihat dan kuat. Otak yang mengawal semua fungsi badan memerlukan keperluan nutrisi yang mencukupi untuk berkembang dan berfungsi dengan baik.
  • Hidangan yang kaya dengan nutrisi dan mineral yang seimbang perlu diberikan kepada anak anda pada masa yang sepatutnya (sarapan, makan tengah hari, makan malam) paras gula dalam badan mencukupi untuk membolehkan otak dan badan anak anda berfungsi dengan baik.
  • Pemakanan yang tidak sihat dan tidak teratur mungkin akan menyekat keupayaan anak anda untuk menjadi lebih peka.

Senaman

  • Senaman mental dan fizikal adalah penting
  • Senaman fizikal membantu meningkatkan penerimaan oksigen oleh otak melalui peredaran darah.
  • Senaman mental akan memastikan sel-sel otak sentiasa distimulasi. Ini boleh dicapai apabila anak-anak anda diberi peluang untuk menggunakan kreativiti (contoh: melukis, membentuk tanah liat) dan belajar benda-benda baru (lawatan ke zoo, belajar naik basikal).

Tidur

  • Tidur yang mencukupi penting untuk mendapatkan memori yang baik.
  • Hasil penyelidikan mendapati bahawa anak kecil memerlukan masa tidur 12-15 jam sehari.
  • Tidur yang mencukupi akan memastikan otak berehat dengan baik.

Dorongan

  • Dorongan, motivasi dan pujian perlu diberikan kepada anak anda supaya dia lebih berminat untuk terlibat dalam apa-apa aktiviti pun.
  • Anak yang sering diberikan dorongan akan mempunyai keyakinan yang tinggi dan lebih berdikari.
  • Gabungan kualiti-kualiti tersebut akan membentuk keupayaan pembelajaran yang tinggi.

Persekitaran yang baik

  • Persekitaran yang baik dengan gangguan minima akan membantu anak anda memberikan tumpuan optimum kepada aktiviti yang dijalankan.

Menarik minat

  • Adalah penting untuk memastikan anak anda berminat dengan apa yang dipelajarinya. Kaedah pengajaran yang kreatif akan membantu menarik minat anak anda, sekaligus membolehkan dia belajar dan ingat dengan cepat.
  • Anak kecil boleh memberikan tumpuan sebentar sahaja dan cepat bosan. Pastikan aktiviti dilakukan dalam jangka masa yang pendek.

Berkomunikasi

  • Berkomunikasi dengan anak anda berguna untuk meningkatkan keupayaan pembelajarannya.
  • Bantu anak anda mengingati apa yang telah dipelajari dengan bertanyakan soalan yang memerlukan dia menerangkan kefahamannya.
  • Kesabaran perlu bagi menangani anak-anak yang lebih kecil kerana mereka banyak bertanya dan kadang-kadang pertanyaannya tidak masuk akal.

Belajar melalui ulangan

  • Anak anda akan ingat apa yang dipelajarinya dengan lebih baik apabila dia mengulanginya beberapa kali.

Jadikan pembelajaran menyeronokkan

  • Kanak-kanak suka bermain dan melalui bermain jugalah kanak-kanak belajar dengan lebih efektif.
  • Jadikan membaca, menulis dan apa-apa sahaja proses pembelajaran sebagai permainan yang melibatkan anda sekali. Keseronokan akan menjadikan anak anda lebih berminat untuk belajar.

Panduan Menyusu 1

November 20th, 2007

Bagaimana susu dihasilkan

Buah dada ibu yang mengandung akan membentuk alveoli iaitu kelenjar yang menghasilkan susu. Alveoli berbentuk seperti daun-daun yang bergantung kepada struktur bercabang-cabang. Susu yang terhasil dalam alveoli akan melalui cabang-cabang ke sinus yang berada di sebalik puting.

Anatomi payudara

Apabila bayi menghisap susu, tekanan akan dikenakan pada bahagian areola di mana sinus-sinus berada. Isyarat akan dihantar ke otak untuk merembeskan dua hormon:

  • Oksitosin – menyebabkan susu keluar (refleks “let down”)
  • Prolaktin – menstimulasi buah dada untuk menghasilkan lebih banyak susu

Jarang sekali timbulnya kes wanita tidak boleh menyusukan bayi. Wanita yang pernah mengalami pembedahan buah dada didapati boleh menyusu. Puting yang rata atau masuk ke dalam tidak akan menjadi masalah sekiranya diatasi dengan lebih awal.

Kolostrum

Kolostrum ialah cecair berwarna kuning yang terhasil pada 10 hari terawal selepas kelahiran. Walaupun kuantitinya sedikit berbanding dengan penghasilan susu biasa, ia sangat kaya dengan protein dan antibodi yang mencukupi untuk keperluan awal bayi.

Menyusu seawal mungkin

Menyusukan bayi anda sebaik sahaja bersalin memberikan beberapa faedah:

  • Masalah ‘bengkak susu’ atau buah dada membengkak di awal tempoh bersalin dapat dikurangkan atau dielakkan.
  • Pemberian kolostrum yang mempunyai kesan ‘laxative’ akan menyingkirkan bilirubin melalui najis bayi. Ini akan mengurangkan risiko penyakit kuning atau ‘jaundice’.
  • Reflek penghisapan oleh bayi yang kebiasaannya kuat selepas 20-30 minit kelahiran akan melatih bayi untuk menghisap susu dengan lebih baik.
  • Bayi akan membina sistem imunisasi di peringkat awal.
  • Membentuk hubungan yang erat antara ibu dan bayi.

Menyusu sekerap mungkin

Penyusuan bayi anda tidak tertakluk kepada masa atau pun jadual. Cara yang paling baik untuk menyusu bayi anda ialah dengan mengikut KEPERLUAN. Apabila bayi anda menunjukkan tanda-tanda ingin menyusu seperti menyuakan mulutnya ke dada anda atau menangis, anda tahu bahawa di situ ada KEPERLUAN untuk menyusu.

Saiz perut bayi yang baru lahir tidak melebihi sebiji telur ayam. Jadi, walaupun anda mempunyai bekalan susu yang banyak, jangan mengharapkan bayi untuk minum susu dalam kuantiti yang banyak dan kemudian tidur dalam jangka masa yang panjang. Berikan susu dada anda apabila bayi menangis atau menunjukkan respon hendak menghisap. Jangka masa yang sesuai ialah dalam julat 30 minit sehingga 2 jam sekali.

TIPS: Jangan tunggu sehingga bayi menangis untuk menyusukannya. Bayi yang menangis ialah bayi yang sedang “marah” dan dia mungkin terburu-buru untuk menyusu kerana terlalu lapar. Jika bayi anda dalam keadaan yang tenang, guna jari anda untuk menyentuh pipinya. Jika bayi anda membuka mulutnya untuk mendapatkan jari anda, sahlah dia lapar!

Kapasiti perut bayi baru lahir = 20 ml = 4 sudu kecil

Kapasiti perut bayi 12 bulan = 200 ml = 40 sudu kecil