Cara basuh rambut dengan betul

Kebiasaannya, apabila kita mandi, rambut dibasuh dengan rutin biasa. Basahkan rambut, busakan syampu di kepala dan bilas. Hakikatnya, terdapat beberapa perkara yang harus dititik beratkan semasa membasuh rambut seperti berikut:

1) Rambut boleh dibasuh setiap hari

Sesetengah jenis rambut seperti rambut yang halus teksturnya, boleh dibasuh setiap hari kerana ia lebih mudah berminyak dan mengumpul kekotoran berbanding rambut yang bertekstur kasar. Rambut kerinting biasanya mempunyai tekstur yang lebih kasar dan tebal, maka, tidak memerlukan cucian setiap hari.

2) Pilih syampu dan perapi yang besesuaian dengan rambut

Terdapat pelbagai produk syampu dan perapi di pasaran. Pastikan anda memilih produk yang bersesuaian dengan tekstur dan rambut anda. Anda mungkin perlu mencuba beberapa produk sebelum menemui produk yang sesuai dengan rambut anda.

3) Hilangkan kekusutan rambut sebelum mandi

Rambut yang basah lebih mudah gugur dan putus. Jadi, hilangkan kekusutan rambut dengan menggunakan sikat atau jari sebelum membasuh rambut. Jika tidak, kiralah berapa banyak rambut anda yang gugur jika anda cuba meleraikan kekusutan semasa membasuh rambut.

4) Anda tidak memerlukan jumlah syampu yang banyak

Semasa mencuci rambut, anda mungkin menggunakan jumlah syampu yang berlebihan. Bagi yang berambut halus dan lurus, jumlah syampu yang diperlukan hanya sebesar duit 1 sen, manakala bagi yang berambut tebal dan bertekstur kasar, jumlah yang diperlukan adalah sebesar 20 sen. Bagi yang berambut panjang, tambahkan sedikit lagi jumlah syampu. Jika rambut anda sangat berminyak atau anda menggunakan produk penggayaan rambut (contohnya gel atau spray), anda mungkin perlu membasuh rambut dua atau tiga kali.

5) Cara penggunaan syampu dan perapi adalah berbeza

Apabila menggunakan syampu, mulakan dengan mencuci di akar rambut sehinggalah ke hujung rambut. Sebaliknya bagi penggunaan perapi, sapukan di bahagian hujung rambut diikuti sehingga ke akar. Hujung rambut lebih memerlukan perapi berbanding rambut di akar kerana ia lebih kering dan rapuh.

6) Elakkan penggunaan air yang terlampau panas

Air yang terlampau panas akan mengakibatkan kulit kepala dan rambut menjadi kering kerana ia akan membilas jua lembapan dan minyak semulajadi.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • Twitter
  • RSS
Read Comments

8 Makanan yang menghilangkan bau

Dalam kehidupan kita sehari-hari, kebiasaannya akan ada masanya bila anggota badan kita akan menghasilkan bau yang kurang menyenangkan. Contohnya, bau kaki, bau mulut dan bau ketiak. Tahukan anda makanan yang boleh didapati di pasar atau dapur boleh mengatasi masalah ini? Artikel ini mencadangkan 8 makanan yang boleh membantu mengurangkan bau di badan anda.

1) Daun sirih – Menghilangkan bau badan

Semasa mandi, gosok daun sirih yang telah diramas-ramas di sekitar badan yang kuat berbau (contohnya ketiak) dan biarkan beberapa minit. Kemudian bilas dengan air dan mandi seperti biasa. Sirih yang direbus dengan air juga boleh diminum sehari sekali bagi mengatasi masalah bau badan kerana sirih mempunyai bahan antiseptik yang membunuh kuman dan menyahkan bau badan.

 2) Daun pudina dan pasli – Menghilangkan bau mulut

Daun pudina dan pasli mempunyai kandungan minyak yang boleh menghilangkan bau dan memberikan rasa segar dalam mulut. Walau bagaimana pun, jika anda mempunyai bau mulut yang serius yang bukan disebabkan oleh makanan (contohnya bau bawang), rajinkan diri berjumpa doktor gigi kerana ianya berkemungkinan disebabkan masalah gigi atau gusi.

3) Susu – Menghilangkan bau mulut

Mulut berbau bawang putih? Kurangkan bau bawang putih dengan minum susu. Kajian mendapati lemak dalam susu bertindak balas dengan sulfur dalam bawang putih (yang menghasilkan bau busuk) boleh mengurangkan bau bawang putih.

4) Makanan bersitrus – Menghilangkan bau badan yang serius

Buah bersitrus seperti limau, lemon dan limau nipis boleh menghilangkan bau di permukaan kulit. Kandungan asid yang tinggi dalam makanan ini membantu menyah-bau peluh. Di samping itu, apabila ia dimakan, kandungan seratnya yang tinggi membolehkannya bergerak dalam badan dengan kadar yang lebih perlahan untuk menyerap toksin yang mengakibatkan bau badan. Jadi, bila agak-agak bau badan tu agak kuat, silalah makan buah bersitrus atau minum air limau nipis setiap hari. Bau badan insya Allah akan berkurang di samping anda menambah bekalan vitamin C .

5) Cuka – Menghilangkan bau kaki

Kandungan asid yang tinggi dalam cuka membantu membunuh bakteria, sekaligus menyerap peluh kaki. Kedua-dua faktor ini merupakan sebab utama kaki berbau busuk apabila memakai kasut dalam jangka masa yang lama. Campurkan 1/2 cawan cuka dan 1 besen kecil air. Kemudian, rendam kaki anda selama 20 minit.

6) Tepung jagung dan serbuk penaik – Mengurangkan bau kaki

Apabila anda memakai kasut tertutup, peluh yang terperangkap dalam kasut menyebabkan kaki berbau. Tepung jagung atau serbuk penaik membantu menyerap air peluh yang terkumpul dalam kasut. Taburkan sedikit tepung jagung atau serbuk penaik dalam kasut anda sebaik sahaja anda sampai di rumah.

7) Teh – Menghilangkan bau kaki

Teh hijau atau teh biasa mempunyai kandungan tannin yang tinggi. Tannin membantu mengurangkan kadar perpeluhan kaki, sekaligus mengurangkan bau kaki. Peluh yang bertindak balas dengan bakteria pada kaki atau kasut anda mengakibatkan bau yang sangat tidak menyenangkan. Dengan kurangnya kadar perpeluhan, bau kaki akan berkurangan. Rebus seteko teh dan campurkan dengan air dalam besen yang boleh memuatkan kedua-dua kaki anda dan rendam selama 10 minit. Anda boleh mengamalkannya setiap hari atau selang sehari. Kaki anda mungkin menjadi sedikit coklat disebabkan oleh pigmen gelap yang terdapat dalam teh. Jangan risau! Basuh kaki anda dengan sabun dan bilas dengan air, maka warna tersebut akan hilang.

8 ) Timun – Menghilangkan bau badan

Timun boleh bertindak sebagai anti-peluh. Gosokkan hirisan timun di bahagian badan yang berbau untuk mengurangkan kadar perpeluhan. Insya Allah, bau badan akan berkurangan.

 

Ada tips lain untuk menghilangkan bau dengan menggunakan bahan semula jadi? Kongsi-kongsilah :)

 

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • Twitter
  • RSS
Read Comments

Kencing manis semasa mengandung

 

Apakah kencing manis semasa mengandung?

Kencing manis ialah kondisi yang melibatkan peningkatan kadar gula dalam darah. Sesetengah wanita mendapat kencing manis sebelum mengandung, sementara lagi mendapat kencing manis semasa mengandung. Kencing manis yang bermula semasa mengandung dinamakan ‘gestational diabetes’ dan berlaku dalam 7% kehamilan.

Jika anda mempunyai kencing manis semasa mengandung, anda mungkin perlu menukar cara pemakanan bagi mengawal kandungan gula dalam darah. Bagi sesetengah kes yang lebih serius, anda mungkin memerlukan penggunaan insulin. Jika kencing manis tidak dikawal sebelum dan semasa mengandung, masalah-masalah seperti berikut mungkin berlaku:

  • Kandungan gula yang tinggi dalam darah menyebabkan bayi mempunyai saiz yang besar sebelum masa kelahirannya. Bayi yang besar boleh menimbulkan komplikasi sebelum, semasa dan selepas bersalin. Bayi yang besar kebiasaannya memerlukan “c-section” kerana mereka lebih terdedah kepada risiko kecederaan jika dilahirkan secara normal seperti perubahan kedudukan bahu.
  • Bayi lebih berisiko tinggi untuk mengalami kecacatan atau masalah yang berkait dengan jantung, buah pinggang, tulang belakang atau otak. Sesetengah masalah ini boleh menyebabkan kematian.
  • Risiko untuk anda mendapat darah tinggi meningkat. Kondisi ini boleh menimbulkan masalah kepada anada dan bayi yang dikandung.
  • Anda mungkin mempunyai ketone di dalam darah dan air kencing yang disebabkan oleh ketoasidosis. Ketoasidosis terjadi apabila gula dalam darah tidak dapat ditukar kepada tenaga, maka lemak digunakan sebagai sumber tenaga. Bahan sampingan penggunaan lemak ini ialah ketone yang boleh menyebabkan kondisi yang agak serius.
  • Anda mungkin melahirkan bayi pra-matang (sebelum 37 minggu) atau bayi terpaksa dilahirkan awal dari waktunya.
  • Bayi yang dilahirkan mungkin mengalami masalah kandungan gula yang rendah dalam darah (hypoglysemia).
  • Risiko bayi untuk terkena penyakit kuning meningkat.
  • Anda mungkin mengalami keguguran semasa awal kehamilan atau bayi mungkin mati dalam kandungan sebelum kelahiran.

Jika anda mendapat rawatan sebelum dan semasa mengandung, anda berkemungkinan melahirkan bayi yang sihat.

Bagaimana kencing manis semasa mengandung terjadi?

Organ pankreas dalam badan menghasilkan hormon insulin. Insulin berfungsi menukar gula kepada tenaga. Hormon-hormon lain yang dirembeskan semasa mengandung boleh menghalang insulin berfungsi dengan betul. Maka, pankreas perlu menghasilkan lebih banyak insulin. Jika insulin tidak dapat dihasilkan dengan kuantiti yang mencukupi untuk mengawal kandungan gula dalam darah, anda akan mendapat kencing manis.

Punca sebenar mengapa kencing manis semasa mengandung terjadi tidak diketahui. Wanita yang mempunyai latar belakang seperti berikut lebih berisiko untuk mendapat kencing manis semasa mengandung:

  1. Latar belakang keluarga yang mempunyai penyakit kencing manis
  2. Obes atau mempunyai berat badan melebihi BMI yang normal
  3. Mempunyai bayi yang sebelumnya bersaiz besar melebihi 4 kg semasa lah
  4. Bayi yang dilahirkan sebelumnya pernah mati semasa dilahirkan
  5. Bayi yang dilahirkan sebelumnya mengalami kecacatan
  6. Pernah mengalami keguguran
  7. Umur melebihi 35 tahun

Apakah simptom-simptom kencing manis semasa mengandung?

Kencing manis semasa mengandung boleh terjadi tanpa simptom yang jelas. Walau bagai mana pun, ujian air kencing dan darah semasa mengandung boleh mengesahkan jika anda mempunyai kencing manis atau tidak. Jika anda telah pun mempunyai kencing manis sebelum mengandung, anda akan mendapati ianya lebih sukar dikawal semasa mengandung. Jika anda mempunyai simptom-simptom berikut, sila berjumpa doktor secepat mungkin.

  • Sentiasa dahaga
  • Kehilangan berat badan
  • Makan dalam kuantiti yang banyak
  • Kerap kencing
  • Keletihan tanpa sebab

Bagaimana kencing manis dirawat?

Anda harus mengawal aras gula dalam darah dengan melakukan perkara seperti berikut:

  • Mengubah cara pemakanan anda. Kebiasaannya, dietitician akan memberikan garis panduan kepada wanita mengandung yang mempunyai kencing manis.
  • Mempunyai rutin bersenam, sekurang-kurangnya berjalan 30 minit sehari.
  • Memantau aras gula dalam darah dengan menggunakan alat yang didapati di pasaran. Penggunaan alat ini memerlukan modal yang agak tinggi dan ianya adalah pilihan anda untuk menggunakannya. Sebaik-baiknya, ia digunakan supaya anda mengetahui pemakanan yang diamalkan semasa mengandung boleh mengawal aras gula dalam darah atau tidak.
  • Bagi yang lebih serius, anda mungkin memerlukan suntikan insulin atau ubat mengawal aras gula dalam darah.

Adakah kencing manis semasa mengandung akan berkekalan?

Kebanyakan wanita yang mempunyai kencing manis semasa mengandung tidak akan mempunyai kencing manis lagi selepas bersalin. Keperluan insulin oleh badan selepas bersalin akan menurun disebabkan keseimbangan hormon dalam badan akan kembali kepada normal. Walau bagaimana pun, risiko untuk mendapat kencing manis dalam jangka masa terdekat adalah tinggi. 15-20% wanita yang mempunyai kencing manis semasa mengandung didapati mempunyai kencing manis selepas setahun bersalin. Bagi mengurangkan risiko ini, pastikan anda mengamalkan gaya hidup yang sihat dengan menjaga pemakanan dan melakukan senaman yang mencukupi.

Jika anda mempunyai kencing manis sebelum mengandung, anda mungkin akan kembali kepada keadaan dan rawatan asal selepas bersalin. Jika anda mempunyai sejarah kencing manis semasa mengandung, terdapat kebarangkalian untuk anda terkena kencing manis lagi jika anda mengandung di masa hadapan.

 

 

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • Twitter
  • RSS
Read Comments

Bila kanak-kanak boleh berus gigi sendiri?

Menurut presiden American Academy of Pediatric Dentistry, kanak-kanak yang berusia bawah 7 hingga 8 tahun masih tidak mempunyai koordinasi yang betul untuk memberus gigi. Kemahiran ini hanya dapat dikuasai apabila mereka mahir dalam tulisan separa bulatan yang didapati dalam tulisan sambung. Bagi membolehkan gigi diberus dengan betul, berus gigi harus digerakkan dengan sudut 45 darjah supaya ia mampu membersihkan plak di antara gigi dan gusi.

Jadi, anak anda yang berusia bawah 7-8 tahun harus dibantu semasa memberus gigi. Biarkan anak anda memegang berus gigi sambil anda membantu menggerakkan tangannya dengan sudut 45 darjah. Atau pun, biarkan anak anda memberus giginya dahulu, kemudian, anda berus semula giginya. Sekadar tips untuk memudahkan anda berus gigi anak-anak, beritahu anak anda supaya dia memberus giginya sendiri dahulu untuk membuang ibu dan ayah kuman. Kemudian, anda akan memberus giginya semula untuk membuang anak-anak kuman. Selamat mencuba :)

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • Twitter
  • RSS
Read Comments

Selamatkah ajinomoto/monosodium glutamate (MSG)?

Ajinomoto atau MSG merupakan penambah perisa atau aditif makanan yang banyak terdapat dalam makanan diproses dan di restoran. Walaupun FDA (Food and Drug Administration) telah mengesahkan MSG sebagai makanan selamat, terdapat pelbagai kontroversi yang dikaitkan dengan MSG.

 

Kesan MSG terhadap kesihatan

Terdapat pelbagai masaalah kesihatan yang dikaitkan dengan dengan MSG. Masaalah ini dikenali sebagai “MSG symptom complex”. Di antaranya ialah:

  • Sakit kepala
  • Berpeluh
  • Muka kemerah-merahan dan panas
  • Muka terasa bengkak
  • Rasa kebas di bahagian muka, leher dan mungkin bahagian badan yang lain
  • Denyut nadi yang tinggi
  • Loya
  • Sakit dada
  • Berasa lemah

Pemyelidik masih lagi mencari bukti-bukti saintifik untuk menghubungkaitkan MSG dengan simptom-simptom yang tersenarai. Walau bagaimanapun, simptom-simptom yang disenaraikan kebiasaannya adalah dalam jangka masa pendek, tidak serius dan tidak memerlukan rawatan. Cara yang terbaik untuk mengelakkan simptom-simptom tersebut adalah dengan tidak mengambil MSG.

 

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • Twitter
  • RSS
Read Comments

Fakta berat badan yang perlu diketahui (Bahagian 2)

6) Tidur yang mencukupi untuk mengurangkan berat badan

Individu yang kurang tidur akan menyebabkan rasa lapar. Kenapa? Penyelidik dari Univeristy of Chicago melaporkan, kekurangan tidur akan menyebabkan gangguan hormon dimana peningkatan hormon ghrelin (penyebab rasa lapar) dan penurunan hormon leptin (penyebab rasa kenyang) berlaku. Jadi, kita akan berasa lapar walaupun sebenarnya perut sudah pun kenyang. Amalkan tidur yang mencukupi (7-8 jam sehari) sebagai ubat diet yang paling mudah dan murah.

7) Berat badan pasangan boleh mempengaruhi berat badan anda

New England Journal of Medicine mendapati jika suami atau isteri mengalami obesiti, risiko pasangannya untuk turut obes meningkat sehingga 37%. Alasannya, gaya hidup pasangan akan mempengaruhi gaya hidup anda jua. Jika pasangan anda mengamalkan gaya hidup yang sihat, anda juga akan terpengaruh disebabkan anda berasa lebih sihat dan ceria. Sebaliknya, jika pasangan anda mengamalkan gaya hidup kurang sihat, ia turut mempengaruhi anda untuk menikmati makanan yang kurang sihat tetapi amat menggembirakan deria rasa. Kesimpulannya, jadilah pasangan yang mempengaruhi ke arah gaya hidup yang lebih sihat. Apatah lagi, jika anda isteri yang sentiasa memasak makanan yang sihat dan menyajikan juadah yang sihat untuk keluarga tersayang.

8)Virus boleh menyebabkan kegemukan

Virus yang dikenali sebagai adenovirus merupakan punca masaalah kesihatan pernafasan sehinggalah usus. Virus ini dikaitkan dengan kegemukan apabila penyelidik dari University of Wisconsin menyuntik ayam dengan pelbagai virus dan mendapati beberapa jenis virus mengakibatkan ayam menjadi lebih gemuk. Sel-sel stem yang berfungsi memperbaiki sistem dalam badan individu dewasa didapati bertukar kepada sel-sel lemak apabila dijangkiti virus-virus tersebut.

9) Makanan boleh menyebabkan ketagihan

Ketagihan memakan tidaklah seserius ketagihan dadah. Walaubagaimana pun, penyelidikan yang melibatkan individu-individu menamakan makanan kegemaran mereka mendapati, bahagian otak yang menjadi aktif semasa menamakan makanan kegemaran adalah sama dengan bahagian otak yang aktif di dalam penagih dadah. Keadaan ini mungkin disebabkan oleh hormon dopamin yang dikaitkan dengan motivasi dan keseronokan. Tindak balas ini menyebabkan kita  makan dengan lebih banyak kerana rasa seronok dan puas apabila menikmati makanan kegemaran, tambahan lagi jika ia dinikmati dlam keadaan tertekan!

10) Jangkitan kuman di telinga boleh mempengaruhi deria rasa

Penyelidikan di University of Florida mendapati individu yang berumur 35 tahun ke atas yang pernah mendapat jangkitan kuman di telinga mempunyai risiko 2 kali ganda menjadi gemuk. Jangkitan kuman di telinga boleh merosakkan saraf yang mengakibatkan deria rasa terhadap makanan manis dan berlemak meningkat. Akibatnya, individu yang pernah mendapat jangkitan kuman di telinga akan lebih menggemari makanan manis dan berlemak sekaligus menyebabkan kegemukan. Bagi individu yang mengalami masaalah ini, cari alternatif lain bagi makanan manis dan berlemak seperti buah-buahan dan makanan kurang lemak tepu. Bagi yang merokok, ketahuilah bahawa asap rokok boleh meningkatkan risiko jangkitan kuman di telinga kanak-kanak. Merokoklah di tempat yang berjauhan dengan kanak-kanak atau lebih baik lagi, berhenti merokok!

11) Antioksidan berfungsi sebagai anti-gemuk

Radikal bebas bukan sahaja merupakan punca kita nampak tua, tetapi ia juga boleh bertanggung jawab menjadikan kita gemuk. Radikal bebas ini merosakkan sel-sel yang berfungsi memberitahu kita sudah kenyang. Makanan yang kaya dengan lemak dan gula mengandungi radikal bebas yang tinggi. Elakkan makanan ringan dan tingkatkan pengambilan makanan kaya antioksidan seperti buah-buahan dan sayur-sayuran.

12) Pastikan anda gemuk dan sihat

Bancian yang dijalankan di Amerika Syarikat mendapati 51% individu dengan berat badan berlebihan dan lebih 32% individu obes mempunyai tekanan darah, tahap kolesterol dan gula yang normal. Ia turut melaporkan 24% individu dengan berat badan yang normal mempunyai masalah metabolik yang boleh mengakibatkan penyakit kronik seperti sakit jantung.  Daripada bancian ini, boleh disimpulkan bahawa saiz badan bukanlah penentu kesihatan seseorang. Yang pentingnya ialah apabila seseorang mengamalkan gaya hidup yang sihat seperti berikut:

  • Melakukan aktiviti fizikal selama 30 minit, 5 kali seminggu. Senaman, berjalan, naik tangga, berbasikal atau aktiviti yang menaikkan kadar denyutan jantung dikira sudah mencukupi.
  • Ambil karbohidrat dalam bentuk bijirin penuh.
  • Tingkatkan pengambilan buah-buahan dan sayur-sayuran.
  • Elakkan makanan berlemak tepu dan lemak trans.
  • Makan makanan berprotein tinggi (tauhu, ikan, dada ayam) dan kurangkan makanan berprotein yang bercampur dengan lemak (daging, paha ayam, burger, sosej)

 

 

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • Twitter
  • RSS
Read Comments

Fakta berat badan yang perlu diketahui (Bahagian 1)

1) Gemuk boleh diturunkan secara genetik

Saintis telah menemui “gen gemuk” di dalam tikus gemuk beberapa tahun yang lalu. Kini, gen yang sama telah ditemui dalam manusia yang meningkatkan kemungkinan untuk menghidap penyakit kencing manis. Hasil kajian menunjukkan, manusia yang mempunyai dua salinan gen tersebut mempunyai risiko sebanyak 40% untuk mendapat kencing manis dan 60% untuk menjadi obes (gemuk) berbanding yang tiada gen tersebut. Bagi yang mempunyai satu salinan gen ini juga didapati mempunyai berat badan yang lebih daripada normal. Faktor ini boleh diubah dengan menjaga pemakanan dan bersenam supaya sentiasa mencapai berat badan ideal.

2) Kandungan sel lemak lebih tinggi dalam sesetengah manusia

Sesetengah orang mempunyai kandungan sel lemak sehingga 2 kali ganda lebih tinggi. Golongan ini akan tetap mempunyai kandungan sel lemak yang sama walau pun berat badan mereka berkurangan. Sel-sel lemak terbentuk sejak kecil dan berhenti dihasilkan apabila mencapai usia remaja. Sel-sel ini terbentuk sejak umur 2 tahun lagi bagi sesetengah yang mempunyai sel-sel lemak yang tinggi. Tetapi, jangan risau! Apa yang penting ialah saiz sel-sel lemak tersebut. Golongan yang mempunyai kandungan sel-sel lemak yang tinggi tetapi bersaiz kecil adalah lebih baik daripada golongan yang mempunyai kandungan sel lemak yang rendah dan bersaiz besar. Walaupun anda tidak berupaya untuk mengurangkan kuantiti sel-sel lemak dalam badan, anda berupaya mengawal saiz sel-sel lemak supaya tidak terdedah kepada risiko penyakit.

3) Metabolisma badan boleh diubah

Dalam satu kajian yang dijalankan terhadap pasangan kembar yang mempunyai berat badan yang berbeza (seorang kurus dan seorang lagi gemuk), saintis mendapati sel lemak dalam individu kembar yang gemuk mengalami perubahan metabolisma yang meyebabkan lemak lebih sukar dibakar. Saintis tersebut membuat kesimpulan, lebih banyak lemak seseorang, lebih perlahan metabolisma anda, maka lebih sukar untuk anda menurunkan berat badan. Cara untuk mengatasinya ialah dengan melakukan aktiviti-aktiviti fizikal yang mencukupi seperti berolahraga, bersukan dan bersenam.

4) Tekanan boleh menggemukkan

Kajian yang telah dijalankan terhadap tikus yang dikenakan tekanan (seperti diletakkan dalam suasana bising dan sejuk) menunjukkan tikus-tikus ini lebih tenang apabila diberikan makanan berkarbohidrat tinggi. Apabila makanannya ditukar kepada yang kurang kandungan karbohidrat, hormon stres dalam badan tikus meningkat. Situasi yang sama ditemui dalam manusia. Apabila kita terdedah kepada tekanan (seperti bos yang mendesak, masaalah kewangan dan sebagainya), keinginan untuk menikmati makanan yang berkarbohidrat  tinggi (seperti makanan manis) meningkat kerana makanan sebegini akan meredakan stres.

Hormon stres juga akan menyebabkan lemak disimpan dalam kadar yang lebih tinggi. Di zaman purba, suasana tertekan seperti dikejar harimau atau musim kemarau menyebabkan proses penyimpanan lemak lebih logik kerana mereka memerlukan tenaga berlebihan untuk mengatasi situasi tertekan tersebut. Walaubagaimana pun, kehidupan kita pada hari ini lebih terdedah kepada situasi tertekan yang kurang aktif seperti termenung memikirkan masaalah atau duduk menyiapkan kerja pejabat yang bertimbun. Maka, kalori yang terkumpul semasa tertekan tidak digunakan dan berkumpul sebagai lemak terutamanya di bahagian perut. Ini boleh dielakkan dengan meredakan stres seperti beriadah, bermunajat, membaca Quran dan meluangkan masa bersama keluarga tersayang.

5) Ibu mengandung yang gemuk berkemungkinan mempunyai anak yang berobesiti tinggi

Kajian terhadap tikus menunjukkan ibu tikus yang obes semasa mengandung mempunyai kandungan gula dan lemak yang tinggi dalam rahim. Akibatnya, penghasilan protin yang boleh mengganggu sistem metabolik dan kawalan pemakanan di dalam otak bayi yang sedang berkembang. Kajian yang dijalankan terhadap tikus kebiasaannya boleh diaplikasikan terhadap manusia. Pakar perubatan dari University of New York telah membandingkan anak-anak yang dilahirkan oleh ibu yang sama tetapi mempunyai berat badan yang berbeza semasa mengandung. Anak-anak yang dilahirkan semasa ibu tersebut mempunyai berat badan ideal didapati tidak mempunyai masalah obesiti berbanding anak-anak yang dikandung semasa ibu tersebut gemuk. Jadi, anda sebagai ibu boleh membantu menentukan tahap kesihatan bakal anak yang dilahirkan dengan mengamalkan pemakanan sihat semasa mengandung.

 

Bahagian 2 akan menyusul kemudian :) Sabar ye……

 

 

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • Twitter
  • RSS
Read Comments

Perkayakan badan dengan zat besi

Badan anda memerlukan zat besi untuk kesihatan yang optimum. Zat besi membantu membina darah yang kaya dengan sel darah merah. Sel-sel darah merah ini berfungsi dalam penyerapan dan pengangkutan oksigen ke seluruh badan bagi yang digunakan dalam sistem metabolisma badan. Zat besi amat penting bagi ibu yang mengandung untuk pembesaran bayi dalam kandungan. Di samping itu, kanak-kanak juga memerlukan kandungan zat besi yang tinggi dalam badan untuk prose pembelajaran dan pembesaran. Kanak-kanak yang kekurangan zat besi kebiasaannya akan kurang daya kosentrasi dan payah untuk belajar.

Tanda-tanda kekurangan zat besi

  • Kulit yang pucat dan kering
  • Kerap berasa letih dan lemah
  • Sesak nafas
  • Hilang selera makan

Tips-tips untuk menambah zat besi

  • Variasikan makanan anda setiap hari, termasuklah makanan yang kaya dengan zat besi
  • Makan daging bersama-sama dengan makanan lain untuk mendapatkan lebig zat besi
  • Elakkan pengambilan teh dan kopi (minuman dan makanan tinggi kafein) bersama dengan hidangan anda kerana ia akan menghalang penyerapan zat besi dalam badan.
  • Pelbagaikan juga makanan yang kaya dengan vitamin C dalam hidangan setiap hari. Vitamin C membantu proses penyerapan zat besi dalam makanan anda.

Makanan yang kaya dengan zat besi

  • Daging
  • Jagung
  • Telur
  • Kekacang
  • Kismis
  • Tomato
  • Roti bijirin penuh
  • Aprikot
  • Brokoli
  • Mentega kacang
  • Nasi
  • Udang
  • Ayam
  • Hati
  • Prun
  • Sardin
  • Bayam
  • Tembikai

Makanan yang kaya dengan vitamin C

Oleh kerana vitamin C membantu penyerapan zat besi, ambil juga makanan yang mengandungi vitamin C yang tinggi seperti:

  • Bunga kobis
  • Buah-buahan citrus tinggi seperti oren
  • Tomato
  • Capsicum
  • Nenas
  • Strawberi
  • Brokoli
  • Ubi kentang
  • Bayam
  • Tembikai susu
  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • Twitter
  • RSS
Read Comments

Fakta badan anda selepas bersalin

Badan anda mengalami pelbagai perubahan semasa mengandung dan juga selepas bersalin. Berikut merupakan fakta-fakta menarik tentang badan anda selepas bersalin:-

1) Berat badan berkurangan 4-5 kg sejurus selepas bersalin

Benar. Sejurus selepas bersalin, berat badan berkurangan sebanyak 4-5 kg kerana berat bayi yang mempunyai berat 2-4 kg sudah selamat dilahirkan. Di samping itu, darah dan cecair amniotik juga akan keluat semasa bersalin. Dalam masa seminggu, anda akan kehilangan lagi 1-2 kg cecair yang menyebabkan anda sembab semasa trimester terakhir mengandung. Untuk kembali ke berat badan asal sebelum bersalin, berikan masa secara berperingkat dan bukannya mendadak dengan bersenam, menyusu badan dan menjaga pemakanan. Anda mengambil masa 9 bulan untuk menambah berat badan semasa mengandung, jadi berikan masa yang sama untuk mengurangkannya kembali ke asal :)

2) Keguguran rambut

Benar. Hampir 50% wanita akan mengalami keguguran rambut yang biasanya berlaku sebulan sehingga 6 bulan selepas bersalin. Peningkatan hormon estrogen semasa mengandung melambatkan proses pengguguran rambut dan melebatkan rambut. Selepas bersalin, hormon akan mengambil masa untuk kembali kepada normal sebelum rambut anda kembali kepada kitaran asal pertumbuhan dan pengguguran. Bagi mengekalkan rambut yang sihat dan mengelakkan keguguran rambut, ambil makanan yang kaya dengan protein, zat besi, zink, flavonoids, antioksidan dan silika yang bermanfaat kepada kulit kepala dan rambut.

3) Anda perlu makan lebih banyak semasa menyusu badan

Palsu. Kalori yang terdapat dalam susu badan kebiasaannya adalah dari lemak badan yang terkumpul (yang menebal semasa anda mengandung). Pantau berat badan anda sepanjang menyusu supaya berat badan anda berkurangan 500-1000 g seminggu, sehingga anda mencapai berat badan ideal. Jika berat badan berkurangan melebihi 1 kg seminggu, makan berlebihan sedikit (200-300 kalori sehari). Pastikan anda mengamalkan pemakanan yang seimbang kerana nutrisi yang terkandung dalam makanan akan juga diserap dalam susu badan. Amalkan pemakanan buah, sayur, susu rendah lemak, bijirin penuh dan protein sepanjang menyusu. Anda juga boleh mengambil vitamin suplemen supaya vitamin dan mineral dalam badan sentiasa mencukupi buat anda dan anak tersayang.

4) Jerawat

Benar. Kitaran daran akan meningkat sebanyak 50% semasa mengandung, terutamanya di bahagian muka. Selepas bersalin, kitaran darah akan kembali ke normal dan kitaran hormon yang masih tidak stabil akan menyebabkan wajah anda mungkin ditumbuhi jerawat. Bagi mengelakkan masalah ini, pastikan wajah dicuci sekurang-kurangnya 2 kali sehari dan gunakan produk penjagaan muka yang mengandungi retinoid. Retinoid akan mempercepatkan proses pertumbuhan sel kulit dan menaikkan seri wajah. Bagi yang mempunyai masalah jerawat yang teruk, gunakan produk mengandungi kombinasi benzyl peroxide dan retinol. Walau bagaimana pun, jika anda menyusu, dapatkan nasihat doktor sebelum menggunakan produk tersebut untuk memastikan ia selamat buat bayi anda.

5) Perut buncit selepas bersalin kerana rahim mengembang semasa mengandung

Palsu. Perut anda buncit dan menggeleber selepas bersalin adalah disebabkan oleh diastasis recti, iaitu pemisahan otot perut yang paling luar. Keadaan ini sememangnya normal bagi wanita selepas bersalin dan menyebabkan tisu perantara yang sebelum ini menyambung otot-otot perut yang terpisah, akan tertarik ke bahagian tepi abdomen anda. Akibatnya, tisu perantara tersebut yang akan menyokong organ  dalam badan dan bukannya otot perut.  Ini menyebabkan perut anda nampak buncit dan masalah lain timbul seperti postur badan yang salah. Bagi membetulkan masaalah ini, senaman dan pemakanan yang betul adalah sangat penting.

6) Kesan rekahan kulit perut adalah kekal

Benar dan palsu. Sebannyak 90% wanita mengandung akan mengalami kesan rekahan kulit perut atau “stretch marks”. Rekahan ini disebabkan oleh penambahan berat badan yang pantas dimana badan berkembang lebih cepat daripada kemampuan kulit untuk menampungnya. Selain itu, peningkatan hormon glucocorticoids semasa mengandung melambatkan pembentukan kolagen dan fiber elastin dalam lapisan kulit. Kesan rekahan pada kulit perut akan kekal jika anda tidak mengambil langkah-langkah awal untuk mencegahnya. Langkah awal yang dimaksudkan ialah dengan mengelakkan pengambilan makanan yang tinggi kanji, manis, berlemak dan masin bagi mengelakkan penambahan berat badan yang berlebihan. Ambil makanan yang kaya dengan vitamin C kerana ia penting untuk pembentukan kolagen. Selain itu, minum banyak air supaya kulit akan lebih elastik. Anda juga boleh menyapu produk seperti Bio Oil sejak trimester pertama lagi bagi mengekalkan lembapan dan elastisiti kulit. Bagi anda yang telah lama mempunyai rekahan kulit, bukannya tiada harapan lagi untuk menghilangkannya. Warna rekahan akan beransur-beransur menjadi lebih pudar dengan masa dan tidak akan kelihatan jelas lagi (nak menyedapkan hati sendiri :) )

 

 

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • Twitter
  • RSS
Read Comments

Risiko beg galas terhadap masalah belakang

Kebanyakan sekolah-sekolah awam di Malaysia melibatkan penggunaan buku-buku teks dan latihan yang banyak jumlahnya. Penambahan buku-buku teks dan latihan di sekolah menyebabkan bertambahnya bebanan beg galas anak-anak kita.Kanak-kanak di peringkat sekolah rendah lagi didapati membawa bebanan beg yang kadang-kadang dilihat agak melampau. Kesannya? Masalah belakang dan postur badan yang tidak betul.

Menurut American Physical Therapy Association, berat beg seseorang individu tidak sepatutnya melebihi 15-20% berat badan individu tersebut. Apabila berat beg melebihi had berat yang disebutkan, kesan jangka masa pendek dan panjang terhadap kesihatan boleh berlaku. Beg yang terlalu berat boleh menyebabkan kedudukan tulang belakang tidak betul sekaligus menyebabkan postur badan yang salah. Akibatnya, keletihan dan lenguh pada bahagian belakang dan otot bahu. Dengan masa, masalah ini boleh berlanjutan sehingga menyebabkan kecederaan kepada bahagian bahu, belakang dan juga leher.

Cara mengatasinya:

  • Pastikan postur badan berada dalam keadaan yang betul. Untuk mendapat postur bahu yang betul, angkat bahu selaras dengan telinga, tolak bahu ke belakang dengan menjauhi telinga sedikit dan turunkan bahu kembali ke posisi normal. Anda mungkin akan nampak sedikit mendada, tetapi ini adalah postur yang betul.
  • Barang yang paling berat dalam beg galas harus diletakkan paling hampir dengan belakang supaya berat beg galas dapat diseimbangkan. Dalam erti kata yang lain, laraskan tali beg galas berhampiran dengan belakang dan bukannya tergantung lebih rendah daripada bahagian atas punggung.
  • Gantungkan tali beg galas di kedua-dua bahu. Jangan gantung di sebelah bahu sahaja.
  • Buat senaman yang menguatkan otot belakang dan perut seperti yoga.
  • Bagi anak-anak yang kecil tubuhnya, beli beg yang beroda supaya beg boleh diheret dan tidak perlu digalas.

 

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • Twitter
  • RSS
Read Comments